Seorang lelaki cedera selepas ditembak dengan senapang patah oleh seorang jirannya dalam kejadian di Kampung Darang Buaya, Besut, Terengganu.

Ekoran insiden itu mangsa yang bekerja sebagai tukang masak mengalami kecederaan di bahagian lutut kaki kirinya dalam insiden kira-kira 12 tengahari Ahad.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata suspek bertindak melepaskan satu das tembakan menggunakan peluru penabur sebelum melarikan diri.

Menurutnya kejadian berlaku di rumah mangsa, yang berusia 35 tahun yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya.

“(Suspek) lelaki Melayu berusia 31 tahun dari kampung yang sama telah bertindak mengambil senapang patah milik ayahnya dan telah menembak mangsa dimana punca kejadian dikatakan suspek ini ada berlaku pergaduhan sebelum ini,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Jelasnya suspek berjaya diberkas kira -kira 3 jam kemudian di Kuala Besut.

Polis turut merampas selaras senapang patah laras dua, dan 43 butir peluru.

Kes disiasat menurut seksyen 307 Kanun Keseksaan.