Tukang masak wanita maut dipukul kekasih dengan topi keledar

Tukang masak wanita maut dipukul kekasih dengan topi keledar
Difahamkan, pertengkaran tercetus gara-gara mangsa cemburu dan menuduh kekasihnya itu mempunyai wanita lain. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Seorang wanita maut dipukul kekasihnya dengan topi keledar di bahagian kepala selepas kedua- duanya bertengkar dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah, George Town.

Tukang masak berusia 37 tahun itu dipercayai dipukul kekasihnya yang berusia 55 tahun ketika keluar bersiar-siar di kawasan berkenaan kira-kira jam12 tengah malam Ahad.

Difahamkan, pertengkaran tercetus gara- gara mangsa cemburu dan menuduh kekasihnya itu mempunyai wanita lain .

Suspek yang berang dengan tuduhan wanita itu bertindak memukul kepala mangsa dengan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian tersebut disedari orang awam yang cuba menghalang dan kemudiannya menahan suspek sebelum menghubungi polis.

Che Zaimani  berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang ( HPP ) untuk rawatan, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia pada jam 5 pagi tadi.

Siasatan awal mendapati suspek mengenali wanita berkenaan dan keluarga mangsa sejak 15 tahun lalu namun baru berpasangan sebagai kekasih antara empat hingga lima bulan lalu.

Tambah beliau, semakan lanjut juga mendapati suspek yang  bekerja sebagai nelayan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dengan kesemuanya melibatkan kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah.

Suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Tag: meninggal dunia, wanita maut dipukul kekasih, George Town, jenayah, maut, keluarga, Asisten Komisioner



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.