Penukaran mengejut dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah membina persepsi mungkin hasil siasatan terhadap SRC International tidak "menggembirakan", lapor akhbar Utusan Malaysia.

Akhbar itu juga menganggap serang hendap bertalu-talu terhadap SPRM telah memberikan isyarat wujudnya "tangan ghaib" ke atas badan itu.

"Kepada warga SPRM, kerja mulia dan pengorbanan anda, kami rakyat marhaen yang disangka dungu ini sentiasa menyanjunginya.

"Walaupun kami ini marhaen dan tidak ada kuasa, tetapi tidak mudah ditipu atau tertipu," tulis Ku Seman Ku Hussain menerus ruangan Anekdot Ahad.

Akhbar itu juga menyifatkan arahan menukar dua pegawai kanan SPRM sebagai tindakan terdesak, panik, tidak ada strategi dan seterusnya memberikan gambaran tentang wujudnya "dalang" dan tangan-tangan ghaib membantutkan siasatan yang telah memakan masa yang lama.

"Kalaupun pertukaran perlu dilakukan, kenapa tidak menunggu Bahri (Pengarah Operasi Khas SPRM, Bahri Mohamad Zin) menyelesaikan siasatannya?

"Daripada ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa bahawa Bahri sangat 'bernilai' untuk disenyapkan," tulis Ku Seman lagi.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya telah menangguhkan sementara siasatan ke atas SPRM berhubung kes kebocoran maklumat yang disiarkan dalam portal Sarawak Report.

Khalid menjelaskan arahan itu dibuat beliau susulan pelbagai andaian dan persepsi awam ke atas siasatan berkenaan.

"Pelbagai andaian telah dibuat kerana berbagai persepsi telah dibuat, jadi saya mengarahkan kita tangguhkan sementara itu sebab saya perlu bagi penjelasan.

"Kenapa kita bertindak, saya harap semua dapat memahami, kerana ini sebahagian daripada tanggungjawab kami, dan kita tiada pilihan, dan kita tidak boleh lakukan siasatan dengan selektif, tambahan pula ini adalah kerana kes dan laporan yang cukup serius," jelas Khalid.