Orang ramai diajak mengikuti Siri Sinopsis dan Tadabbur 30 juzuk al-Quran selama 30 minit setiap hari jam 8 pagi, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusof berkata pada Jumaat, pihaknya mengambil inisiatif tersebut bagi memanfaatkan masa terluang sepanjang PKP.

Katanya menurut laporan Sinar Harian, kempen itu dinamakan 'Turn Quarantine to QuranTime' atau tukar masa kuarantin kepada masa bersama al-Quran, yang dijalankan di Facebook QuranHour secara langsung.

"Sebelum ini kita menganjurkan kempen My #QuranHour Satu Jam bersama al-Quran bermula sejak tahun 2016 sebagai matlamat utama dalam menggerakkan kempen World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour.

"Bagaimanapun, sepanjang PKP ini, kita gerakkan kempen ‘Turn Quarantine to QuranTime’ untuk sama-sama mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan mengamalkan nilai-nilai murni daripada isi kandungan melalui kupasan sinopsis 30 juzuk al-Quran.

"Kempen ini juga memberi peluang kepada mereka yang kurang mahir membaca al-Quran untuk berjinak-jinak dengan membaca terjemahan serta memahami isi kandungan ayat tersebut.

"Langkah seterusnya, mereka boleh berguru atau ke Rumah Ngaji yang memberi pengajian percuma (selepas waktu kuarantin), selain melihat video dan penulisan secara dalam talian," kata Marhaini.

BACA: Hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan: 'Duduklah diam-diam di rumah' - Muhyiddin

Katanya kepada Sinar Harian di Shah Alam, QuranTime amat diperlukan sebagai pengisian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada masa kini.

"Ramai orang menjadi panik, takut dan emosi terganggu disebabkan wabak yang mengancam nyawa kita dan keluarga dan ekonomi yang tidak stabil.

"Al-Quran adalah mukjizat teragung yang dibekalkan kepada kita dan ia merupakan penyembuh, pelindung, peringatan dan panduan kepada manusia dengan syarat kita perlu melepasi halangan dalam diri," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Fazrul Ismail dipetik berkata, program tersebut mengandungi pengisian rohani dengan sinopsis dan tadabbur dua juzuk al-Quran setiap hari.

"Peluang ‘berkurung di rumah’ boleh dimanfaatkan untuk kita berinteraksi dengan al-Quran.

"Jika kita diberi kemampuan untuk membaca al-Quran, ia merupakan nikmat besar dan ini merupakan tanda ALLAH SWT sayangkan kita walaupun ujian COVID-19 sedang melanda di seluruh dunia," kata Fazrul.