Menukar pesakit ketika pemeriksaan doktor dan mengubah maklumat laporan perubatan merupakan antara modus operandi sindiket tuntutan palsu bagi mendapatkan bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata taktik berkenaan dipercayai dijalankan dalang bertindak sebagai ejen bagi membuat pelbagai tuntutan seperti hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan tuntutan pencen ilat.

"Mereka (dalang) memperdaya pencarum dengan mengatakan mereka sebagai orang tengah yang boleh menjamin memperoleh tuntutan faedah daripada Perkeso dan mengenakan bayaran antara RM15,000 dan RM20,000 untuk tuntutan tertentu," katanya.

Dr Mohammed Azman berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini bagi mengulas tangkapan dalang penipuan dana Perkeso oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin lepas.

Menurut beliau, sindiket tuntutan palsu tersebut dipercayai masih aktif di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Klang, Selangor.

Dr Mohammed Azman berkata sebanyak 415 kes penipuan pelbagai tuntutan dikesan dari 2017 hingga 2019 melibatkan kerugian RM26 juta dan jika dibayar berterusan tuntutan tersebut, ia akan melibatkan kerugian hingga RM68 juta.

"Kes (tuntutan palsu) berjaya kita kesan dan sebahagiannya sedang dalam siasatan PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM," katanya sambil menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana wakil atau ejen yang boleh memudah dan meluluskan tuntutan faedah Perkeso.

Justeru katanya, pencarum Perkeso yang ingin membuat tuntutan, perlu hadir ke mana-mana pejabat Perkeso dan proses tuntutan adalah percuma.

"Jika ada pihak telah terlibat atau dah bayar duit dengan mana-mana agen atau dalang, sila tampil untuk memberi maklumat," katanya menambah Perkeso memandangkan serius isu ini dan mahu aktiviti ini dihentikan segera.

Isnin lepas, sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka ditahan SPRM dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan faedah Perkeso yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Suspek yang berusia antara 35 hingga 67 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Putrajaya.


-- BERNAMA