Sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas anak lelaki berusia dua tahun tercampak daripada kenderaan akibat kemalangan di Kilometer 235.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Pedas Linggi dekat Rembau, petang semalam.

Kejadian sekitar 3.40 petang melibatkan tiga buah kereta masing-masing sebuah Honda Civic dan dua buah Perodua Myvi itu menjadi tular di laman sosial Facebook menerusi rakaman video berdurasi seminit.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata kejadian berpunca selepas kenderaan dipandu bapa kanak-kanak lelaki berkenaan dihimpit sebuah Perodua Myvi yang menukar laluan secara tiba-tiba.

“Siasatan mendapati bapa kanak-kanak itu sedang memandu di lorong laju sebelum dihimpit sebuah Myvi sehingga menyebabkannya hilang kawalan dan terlanggar penghadang besi tengah lebuh raya.

“Kenderaan itu kemudian terbabas dan melanggar pula bahagian sebuah perodua Myvi lain yang bergerak di lorong tengah dan akibat itu, kanak-kanak lelaki itu tercampak keluar di atas lorong laju lebuh raya dan mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu tular sebuah klip video menerusi ‘dash cam’ dimuat naik pengguna lebuh raya memaparkan seorang kanak-kanak lelaki di atas jalan di lorong laju lebuh raya selain beberapa pengguna lain menghentikan kenderaan mereka dan menyelamatkan kanak-kanak itu.

Tambah Anuar, kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan dan dirawat di wad Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban dan pihaknya sedang mengesan pemandu Myvi berwarna biru bagi membantu siasatan.

“Ekoran dari maklumat orang awam dan video tular adegan kejar-mengajar itu, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pemandu kenderaan biru untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya.

Sementara itu, pemilik Facebook dengan profil Alan Chang memaklumkan, rakaman video budak yang tercampak itu adalah miliknya.

Dalam makluman itu, Alan turut menjelaskan tentang isu tarikh rakaman video berkenaan.

"Saya adalah pemilik dashcam untuk kejadian semalam. Sila abaikan tarikh dashcam sebab saya tidak set tarikh.

"Kejadian sebenar adalah sebuah Jazz biru yang berlumba dengan Myvi putih. Myvi putih lepas tu pecut ke lorong paling kanan dan kembali ke lorong ketiga dan melanggar (Honda) Civic menyebabkan budak dalam Civic itu tercampak keluar kereta.

"Ini video penuh utk menjelaskan kejadian semalam. Thank you," tulis Alan di Facebooknya.