Empat keluarga terpaksa dipindahkan ke rumah jiran apabila sebuah treler membawa bahan kimia terbabas lalu terjatuh ke dalam parit di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai, dekat sini, pada Rabu.

Menurut jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lt (PA) Noor Hafizoh @ Noor Ulin Ismail, siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa treler berkenaan dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang.

Katanya, apabila sampai di Bagan Serai dipercayai, kenderaan itu telah tersalah masuk jalan ke Jalan Minitar Kampung Parit Mentara 3 dan terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kanan jalan.

“Kesan kemalangan tersebut muatan cecair treler dipercayai mengalir masuk ke dalam air,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, beberapa tindakan telah diambil termasuk memaklumkan kepada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di samping Jabatan Kesihatan Kerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kerian.

Foto ihsan APM

Foto ihsan APM

Foto ihsan APM

Selain itu, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian telah dimaklumkan untuk penutupan sementara saluran air dan penghuni rumah di sekitar tempat kemalangan telah dipindahkan buat sementara waktu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi (JBPM) nege­ri, Mohamad Yunus Abu berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.56 pagi.

Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati sebuah lori terbabas dan jatuh ke dalam parit.

Menurutnya, treler itu dipercayai membawa 20,000 liter Acetone (UNI1090) dan terdapat kebocoran pada treler tersebut.