Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

"Tun M ajak jatuhkan Muhyiddin" - Pak Wan dedah dalam mesyuarat MPT Bersatu

"Tun M ajak jatuhkan Muhyiddin" - Pak Wan dedah dalam mesyuarat MPT Bersatu
Mohd Redzuan yang sinonim dengan panggilan Pak Wan memberitahu bekas Perdana Menteri itu, bahawa beliau enggan untuk turut serta dalam usaha menjatuhkan Muhyiddin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof memberitahu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi bahawa beliau telah diberitahu hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seorang ahli MPT yang enggan dinamakan memberitahu Astro AWANI, bagaimanapun, Mohd Redzuan yang sinonim dengan panggilan Pak Wan telah memberitahu bekas Perdana Menteri itu, bahawa beliau enggan untuk turut serta.
Mohd Redzuan, yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah juga dikatakan memberi jaminan sewaktu mesyuarat MPT semalam bahawa beliau akan berdiri teguh menyokong Muhyiddin selaku pemimpin Bersatu serta Perdana Menteri.

“Pak Wan beritahu kami bahawa beliau memang ada berjumpa dengan Tun. Dan Tun memberitahu beliau bahawa mereka harus jatuhkan Muhyiddin dengan apa jua cara sekali pun.
“Namun Pak Wan menjawab beliau tidak boleh ikut (gerakan menjatuhkan Muhyiddin), kerana ia adalah sesuatu yang sangat peribadi,” kata ahli MPT itu.

Media hari ini dimaklumkan terdapat sidang media khas di kediaman menteri itu, namun setiausaha politik  Mohd Redzuan, Mohd Hafeez Mohd Yunus  berkata, menteri itu masih belum memutuskan lagi untuk membuat sidang media berkenaan atau pun tidak.

“Sekiranya ada perkembangan, saya akan maklumkan dengan segera,” katanya dalam satu kumpulan media di aplikasi Whatsapp.

Pada 30 Mei lepas, Mohd Redzuan telah mengesahkan bahawa beliau ada berjumpa dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) Putrajaya.

Namun beliau menafikan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu ada kaitan dengan dakwaan beliau akan keluar dari Perikatan Nasional.

Sementara itu, beberapa media lain turut melaporkan Mohd Redzuan sebagai berkata, khabar angin bahawa beliau akan turut meletakkan jawatan sebagai menteri, sekali gus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan adalah tidak benar sama sekali.

"Jika ada apa-apa, saya seru semua untuk teguh di belakang PN (Perikatan Nasional) yang diterajui oleh Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) untuk memandu negara keluar daripada krisis yang kita sedang hadapi, Covid-19 dan ekonomi," katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Selain itu, Mohd Redzuan berkata, beliau masih lagi dalam proses kuarantin.


Tag: Mohd Redzuan Md Yusof, Pak Wan, Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Astro Awani, Media, ekonomi, politik, menteri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.