Tun Dr Mahathir Mohamad dalam entri terbaharu blognya mengetengahkan isu pengurusan kewangan kerajaan yang katanya perlu dikawal oleh mekanisme undang-undang.

Menurutnya, perbelanjaan perlu mematuhi cadangan seperti yang tertera dalam rancangan belanjawan selain menambah bahawa kerajaan boleh kehilangan wang melalui pelaburan yang merugikan.

"Kami akan tahu di mana wang tersebut hilang. Tetapi apabila sejumlah besar wang lesap, maka mereka yang diamanahkan dengan pengurusannya mesti menjawab untuk kehilangan.

"Kehilangan wang berbeza daripada kerugian wang. Kehilangan bermakna wang yang hilang tidak dapat dikesan. Ini boleh disebabkan oleh rasuah atau kecurian," Dr Mahathir menulis dalam blognya.

Beliau mempersoalkan bagaimana 1MDB, sebuah syarikat dengan modal RM1 juta dan tanpa aset boleh meminjam 42,000 kali modal tanpa cagaran.

"1MDB mampu untuk berbuat demikian disebabkan oleh jaminan kerajaan. Dalam erti kata lain kerajaan yang meminjam wang. Jika 1MDB kehilangan wang, kerajaan yang akan menanggung kerugian," katanya.

Dr Mahathir turut mempersoalkan mengapa operasi 1MDB tidak dipantau oleh pegawai kerajaan yang bertanggungjawab bagi pengurusan dana kerajaan selaku penjamin.

Beliau berkata 1MDB telah mempunyai kepincangan dari awal lagi

"Ia dimulakan sebagai ‘off-budget’ dan ia tidak dipersembahkan di Parlimen. Wang itu telah dipinjam. Jadi, ia bukan kekayaan berdaulat tetapi hutang kerajaan, "katanya.

Dalam blog ini, Dr Mahathir juga telah memperincikan pelaburan 1MDB:

- Pembelian Tanjong Energy (kini dikenali sebagai Powertek Energy Sdn Bhd) daripada Ananda Krishnan untuk RM 8.5 bilion.
- Pembelian Genting Sanyen Power (kini dikenali sebagai Loji Kuasa Kuala Langat) untuk RM 2.3 bilion.
- Pembelian Jimah Energy untuk RM 1.2 bilion.
- Pembelian 70 ekar tanah di Jalan Tun Razak untuk RM320 juta iaitu: RM64.00 skp.
- Pembelian 495 ekar tanah di bekas lapangan terbang Sungai Besi TUDM (kini dikenali sebagai Bandar Malaysia) kira-kira RM363,5 juta iaitu: RM91.00 setiap kaki persegi.
- Pembelian 234 ekar tanah di Air Itam di Pulau Pinang RM1.38 bilion iaitu: RM135.00 di setiap kaki persegi.

Beliau berkata pelaburan dan pembelian diketahui setakat ini berjumlah RM14.7 bilion dan bahawa terdapat kira-kira RM27 bilion yang masih memerlukan penjelasan.

"Di mana jumlah wang yang selebihnya?" beliau bertanya sambil menambah bahawa 1MDB tidak mendapat apa-apa pulangan daripada pelaburannya.

Beliau berkata jumlah kerugian yang ditanggung oleh kerajaan adalah lebih kurang RM25 bilion