Dalam entri blognya hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan nada yang dilihat lebih kepada rasa kecewa berbanding marah terhadap kepimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Entri yang dimuat naik di chedet.cc oleh perdana menteri keempat negara itu banyak menekankan mengenai kesilapan Najib dalam merangka strategi menawan hati rakyat dan dalam soal memimpin negara.

Dr Mahathir turut menekankan bahawa Najib merugikan banyak wang negara apabila gagal menilai keutamaan projek mega dengan memberikan tumpuan kepada projek yang salah.

“Najib gagal pada banyak bidang selepas menjadi Perdana Menteri. Selain jambatan bengkok itu, beliau menggugurkan projek landasan berkembar elektrik Johor Bahru ke Padang Besar yang sepatutnya siap pada 2010.

“Kemudian beliau mula merekrut beberapa kakitangan British untuk menasihatinya tentang bagaimana mentadbir negara.

“Kita capai kemerdekaan pada 1957 dan kita usir penasihat British. Kita lebih baik tanpa mereka. Najib nampaknya tidak percaya dengan kebolehan orang Malaysia membangunkan negara ini,” kata bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat ini.

Selain itu, Dr Mahathir turut kecewa dengan beberapa keputusan Najib yang akhirnya mengakibatkan bukan sahaja penyokong parti tidak mahu mengundi, malah beberapa orang kerajaan lari menyokong pihak pembangkang.

“Beliau juga menubuhkan sebuah agensi yang diketuai oleh ‘bukan orang kerajaan’ untuk membangunkan negara yang mana perkara ini telah menimbulkan kemarahan orang kerajaan sendiri.

"Sebelum ini, mereka banyak membantu mentadbir negara. Namun sekarang, pengalaman dan kepakaran mereka bagai tidak lagi diperlukan,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir menutup entrinya dengan persoalan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan bakal merungkai kehilangan wangnya di dalam entri beliau yang seterusnya.