'Tun Mahathir seorang yang hipokrit dan tidak berprinsip.'

Demikian kenyataan Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz merujuk kepada blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Majlis Raja-Raja Melayu.

Mohamed Nazri berkata,Tun Mahathir ketika memimpin negara beliau telah menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu.

"Orang kata apa ... hadkan kuasa mereka (Raja-Raja) , beliaulah yang menyebabkan ramai Sultan murka dengannya," katanya ketika ditanya mengenai pandangannya terhadap isu itu.


Sementara itu, Mohamed Nazri turut menyuarakan sokongan berhubung gesaan Majlis Raja-Raja Melayu membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku "Lelaki Di Sebalik Pulau" di Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara, hari ini.

Dr Mahathir pada Rabu menerusi catatan blognya, chedet.cc mempertahankan gesaan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menyiasat syarikat 1MDB dengan segera.

Menurutnya lagi Majlis Raja-Raja Melayu hanya melaksanakan tanggungjawab mereka demi menjaga kebajikan masyarakat.

Pada 6 Oktober lalu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan bagi pihak Majlis Raja-Raja Melayu menggesa semua pihak yang bertanggungjawab untuk memberi kerjasama secara jujur agar siasatan terhadap 1MDB dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung di Istana Negara pada awal bulan ini.