Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan pihak tertentu yang menggantung replika kaki patung yang dipotong di pohon-pohon sekitar Sungai Limau adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

Replika kaki patung tersebut digantung sebagai menggambarkan kaki bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang dipotong oleh doktor berikutan komplikasi penyakit yang beliau hadapi.

“Saya tidak tahu untuk tujuan apa mereka menunjukkan kaki yang dipotong itu. Itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ianya melibatkan orang yang sakit dan telah pun meninggal dunia,’ kata Mahathir ketika melawat Karnival Rakyat Luar Bandar 1Malaysia di Kompleks Pertubuhan Peladang MADA di Bukit Besar disini petang tadi.

Tun Mahathir Mohamed di Sungai Limau

Menurutnya, kaki Allahyarham (Azizan) dipotong adalah kerana untuk menyelamatkannya dalam menyelamatkan nyawanya akibat penyakitnya yang kian serius ketika itu.

“Jadi janganlah jadikan ini satu isu politik. Ini adalah usaha semata-mata untuk menyelamatkan nyawa seseorang tidak kiralah kawan atau lawan,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata perbuatan tersebut merupakan satu perbuatan keji.

“Saya sangat sedih atas perbuatan ini yang saya anggap satu perbuatan tak beradab, tidak bersopan dan tidak berakhlak kerana ianya memburukkan orang yang telah mati dan mengguriskan orang yang hidup iaitu isteri dan anak-anaknya,” katanya kepada pemberita di Markas Induk PAS PRK DUN Sungai Limau.

Menerima kunjungan Tun Mahathir Mohamed di Sungai Limau

Menurutnya lagi, selepas ahli keluarga Allahyarham menerima permohonan maaf secara terbuka dari Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kesilapan kata-kata terhadap Allahyarham, masih wujud lagi manusia yang masih suka meneruskan perbuatan keji seumpama ini.

“Ini cukup malang dan tidak bertanggungjawab kerana ianya mengaibkan orang,” katanya lagi.

PAS telah bersetuju untuk membuat laporan polis namun akan berbincang dengan peguam mengenai tindakan selanjutnya terhadap perkara tersebut.

Semalam, beberapa kaki patung yang kononnya didakwa sebagai “kaki ustaz” merujuk kepada Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak ditemui tergantung di beberapa lokasi sekitar Sungai Limau.

Kaki-kaki patung tersebut yang didakwa digantung berhampiran beberapa pusat gerak kerja Parti BN telah menyebabkan BN membuat laporan polis.