Tutup

'Tun M letak jawatan? Itu rekaan sahajalah ... ' - Muhyiddin

'Tun M letak jawatan? Itu rekaan sahajalah  ... ' - Muhyiddin
'Tun M sedang menjalankan tugas negara di China'. - Gambar fail
PAGOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sir Muhyiddin Yassin hari ini menafikan khabar angin berhubung peletakan jawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika ditanya kesahihan perkara berkenaan, Muhyiddin berkata Tun Mahathir sedang sibuk menjalankan tugas negara di China.

"Tanyalah orang yang bercakap itu, saya tidak tahu. Dia menjalankan tugas negara di China dan tidak berbangkit  soal dia meletakkan jawatan. Itu rekaan sahajalah," katanya.

Baru-baru ini berlangsung mesyuarat khas tergempar yang didakwa seolah-olah mengesahkan keretakan hubungan antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.
Mesyuarat itu didakwa diadakan atas permintaan Pengerusi PH itu yang tidak berpuas hati dengan pelantikan dua Exco baharu Johor, Solihin Badri dan Tosrin Javanthi.

Susulan itu, kecoh di media sosial mendakwa Perdana Menteri itu ingin melepaskan jawatannya ekoran bersengketaan berkenaan.
Mengulas mengenai itu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu menafikan wujud persengketaan antara beliau dan Dr Mahathir.


Malah katanya, dakwaan itu hanya beraifat persepsi yang mahu melihat seolah-olah berlaku perpecahan dalam parti.

“Kita harus terima hakikat sebagai sebuah parti demokratik, kita tidak menghalang sesiapa memberikan pandangan dan pendapat.

“Maka kalau itu orang mengandaikan perbedaan pandangan sebagai suatu perbalahan, saya fikir itu satu perkara yang tidak betul,” tegasnya.

Jelasnya, di peringkat pimpinan pusat tiada sebarang masalah dan beliau masih terus memimpin parti bersama Dr Mahathir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pemimpin tertinggi lain.

Muhyiddin berkata demikian selepas merasmikan sambutan hari ulang tahun ke-41, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Negeri Johor yang berlangsung di Hub Pendidikan Tinggi, di sini pada Jumaat.


Dr Mahathir tiba di Beijing pada Rabu untuk melakukan lawatan rasmi lima hari dengan jadual lawatan padat termasuk memberi ucaptama di beberapa majlis negara.

Hari ini beliau hadir bersama-sama 37 pemimpin dari seluruh dunia dan 5,000 perwakilan dari 150 negara pada majlis perasmian Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa Ke-2.

Perasmiannya disempurnakan Presiden China, Xi Jinping, di Pusat Persidangan Kebangsaan China (CNCC).