Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) boleh memainkan peranan untuk menonjolkan akan pentingnya mempunyai kereta nasional ketiga yang akan membantu memacu pembangunan dan pembinaan negara.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, MIGHT boleh memainkan peranan besar dalam memberi penjelasan kepada rakyat berhubung cadangan itu serta untuk menyokong industri lain Malaysia dalam mewujudkan ekonomi seimbang.

''Kami telah diberikan taklimat dan saya fikir MIGHT boleh memainkan peranan besar, untuk memberi penjelasan kepada rakyat dan untuk menyokong industri kerana industri hanya boleh mencatat pertumbuhan apabila rakyat menerimanya,'' katanya dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Channel (BNC) baru-baru ini di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebagai pengguna, rakyat akan mendapati sukar untuk memahami akan keperluan untuk menggalakkan percambahan industri tempatan yang amat penting untuk mewujudkan peluang kerja baharu dan juga untuk meningkatkan keupayaan eksport ke negara lain kerana mereka lebih fokus untuk membeli produk, daripada menciptanya.

Susulan itu, beliau berkata kerajaan perlu memikirkan cara untuk membangunkan negara dan ini termasuk kapasiti untuk mengeluarkan barang termasuk projek kereta nasional ketiga untuk menjana aliran masuk wang.

''Kerajaan merasakan perlu untuk memperoleh keupayaan kejuruteraan yang bermakna kita perlu mengeluarkan dan menghasilkan untuk diri kita sendiri supaya barangan boleh dijual ke negara lain, di mana terdapat aliran masuk wang.

"Aliran keluar wang adalah tidak baik untuk negara, itu cara kerajaan berfikir,'' katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia untuk melihat kepada negara seperti Jepun, Korea Selatan dan China, yang amat terkenal bagi keupayaan kejuruteraan dan lebih berminat untuk mengeluarkan barang dan mengeksportnya, yang membolehkan mereka mencatat pertumbuhan baik dari segi ekonomi.

Pada 11 Jun, Dr Mahathir mendedahkan pada Persidangan Nikkei Ke-24 bagi Masa Depan Asia di Jepun bahawa kerajaan merancang untuk mengeluarkan kereta nasional ketiga selepas Proton dan Perodua.

Mengakui sesetengah rakyat Malaysia tidak menyambut positif cadangan itu, Dr Mahathir berkata sebelum itu matlamatnya adalah untuk meningkatkan kapasiti kejuruteraan negara dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar daripada negara pengguna.

Ditubuhkan pada 1993, MIGHT, yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, memainkan peranan dalam mendapatkan konsensus dan penyelarasan bagi kerjasama Industri-Kerajaan dalam teknologi tinggi.

-- BERNAMA