Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi akan menjadi tumpuan dunia apabila beliau dijadualkan menjadi pemimpin pertama berucap sewaktu pembukaan Persidangan Masa Hadapan Asia (Persidangan Nikkei) kali ke-25, yang bakal berlangsung di Tokyo pada Khamis ini.

Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan berkata, Perdana Menteri akan menggunakan kesempatan itu untuk menyampaikan pandangan mengenai keadaan semasa global termasuk perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta impaknya kepada negara-negara Asia.

Menurut Jawan, negarawan itu akan menggunakan kesempatan tersebut untuk menerangkan keadaan semasa di Malaysia serta menyampaikan hasrat negara untuk menerima lebih banyak pelabur asing, khususnya dari Jepun.

“Penyertaan Tun Dr Mahathir pada kali ini merupakan penyertaan beliau yang ke-21 sejak persidangan ini diadakan kali pertama pada 1995. Persidangan anjuran Nikkei ini bakal dihadiri ketua-ketua negara dan kerajaan serta tokoh-tokoh perniagaan di rantau Asia.

“Persidangan ini merupakan satu wadah yang sesuai bagi Perdana Menteri bagi mengenengahkan dasar serta pendirian Malaysia dalam usaha menarik minat pelabur asing serta meningkatkan hubungan mereka dengan Malaysia,” kata beliau dalam taklimat kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Menurut laman web rasmi penganjur, persidangan kali ini akan memberikan fokus kepada ketidakstabilan yang berlaku di peringkat global termasuk Perang Dagang AS-China, pergelutan antara kuasa-kuasa utama perang berteknologi tinggi serta peningkatan dasar ‘protectionism’ di negara-negara tertentu.

Mengulas lanjut, Jawan berkata, Dr Mahathir juga akan menghadiri sesi dialog perniagaan yang akan disertai syarikat-syarikat gergasi dari Jepun seperti Mitsubishi Corporation, Sumitomo Corporation, Sankyu, Roland, Mitsui & Co, Kawasaki Heavy Industry serta NEC.

“Semasa persidangan itu Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan bertajuk Malaysia’s current situation and expected investment from Japan,” kata Jawan lagi.

Dr Mahathir juga, kata Jawan, akan menjadi tetamu utama Foreign Correspondents’ Club of Japan dan menyampaikan pandangan serta harapan beliau terhadap isu-isu yang melingkari dunia ketika ini.

Sementara itu, pada hari ketiga lawatan rasmi ke negara matahari terbit itu, Jawan berkata, Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan beliau, Shinzo Abe.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin akan membincangkan hal-hal dan isu berkaitan hubungan dua hala Malaysia dan Jepun.

Selain itu, Perdana Menteri juga akan menerima kunjungan hormat, termasuk dari delegasi Universiti Toyo, serta Pengerusi Persatuan Persahabatan Ahli-ahli Parlimen Jepun-Malaysia, Keiji Furuya.

Untuk rekod, ini merupakan lawatan kali keempat Dr Mahathir ke Jepun sejak beliau menjadi Perdana Menteri selepas memimpin Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum tahun lepas.

Lawatan terakhir beliau ke sini ialah pada November lepas bagi menerima penghormatan daripada Maharaja Jepun ketika itu iaitu Maharaja Akihito yang mengurniakan darjah kebesaran The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers khusus untuk pemimpin dunia.