Tutup

Tun M percaya kerosakan disengajakan, DCA tidak boleh pastikan dakwaan sabotaj

Tun M percaya kerosakan disengajakan, DCA tidak boleh pastikan dakwaan sabotaj
MAHATHIR: Apakah ada sabotaj atau tidak, tidak boleh ditentukan oleh DCA sebelum siasatan dijalankan. - Astro AWANI / Shahir Omar
LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad tetap berpegang kepada kepercayaaannya bahawa ada pihak tertentu yang mahu melihatnya terkorban dalam nahas pesawat ke Langkawi bagi menghadiri proses penamaan calon dan berkempen sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Presiden Pakatan Harapan itu berkata demikian susulan kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM) yang menolak dakwaan sabotaj terhadap pesawat yang sepatutnya menerbangkan beliau dari Subang ke Langkawi pada Jumaat. 
Mahathir berkata, sehingga kini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) masih tidak boleh memastikan punca masalah yang dialami pesawat yang sepatutnya dinaikinya ke Langkawi pada Jumaat, sama ada ia disabotaj atau sebaliknya.

"Saya tidak tuduh DCA, saya cuma hendak nyatakan apa yang berlaku, yang diakui oleh DCA sendiri. DCA sendiri tahu bahawa pesawat itu tidak dapat terbang kerana kerosakan.
"Apakah ia disebabkan sabotaj atau pun tidak, tidak boleh ditentukan oleh DCA sebelum dia buat siasatan.

"Tetapi saya anggap perbuatan itu sengaja dibuat, kerana memang ada niat untuk menghalang saya daripada menjadi calon," katanya semasa berucap di sini pada Sabtu.

BACA: Penerbangan Awam nafi dakwaan Tun Mahathir pesawat disabotaj

BACA: 
'Ada pihak mahu saya mati' - Dr Mahathir

Pengerusi CAMM Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam kenyataannya semalam berkata, pesawat jenis Bombardier Challenger CL60 yang dikendalikan Vista Jet Limited itu tidak dapat diterbangkan ekoran masalah teknikal yang kecil dan rutin iaitu kebocoran udara di roda kiri pada muncung pesawat.

Pada Jumaat, Mahathir mendakwa pesawat yang dinaikinya menuju ke Langkawi dirosakkan pihak tertentu.

Tegasnya, sebelum berlepas, juruterbang memaklumkan bahawa pesawat tersebut mengalami kebocoran yang teruk dan tidak dapat dibaiki dalam tempoh yang singkat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya benar ada unsur jenayah terhadap pesawat yang sepatutnya dinaiki Mahathir ke Langkawi pada Jumaat.

Katanya, pada masa ini polis masih menunggu laporan penuh hasil siasatan yang dijalankan DCA sebelum membuka sebarang kertas siasatan.

Mohamad Fuzi memberitahu, pihaknya bagaimanapun sedang mengumpulkan segala maklumat berhubung kejadian berkenaan sejurus kejadian berlaku.

Dalam perkembangan berasingan, Mahathir memberitahu, Pakatan Harapan akan membuat rayuan kepada mahkamah terhadap beberapa calonnya yang dikatakan tidak dapat menjadi calon pada PRU kali ini.

Terdahulu pada majlis pertemuan bersama kaum India, Mahathir berkata, kaum itu akan diberi peluang untuk bekerja di Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) seandainya mereka memenangi PRU14 kelak.