Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berhasrat untuk menswastakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cadangan itu diutarakan Dr Mahathir dengan memperkenalkan Dasar Persyarikatan Malaysia, namun mendapat bantahan daripada pengerusi Felda semasa itu Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.

"Apabila diperkenalkan (Dasar Persyarikatan Malaysia), agensi pertama yang dia (Dr Mahathir) hendak swastakan ialah Felda tapi tak dapat (berbuat demikian) disebabkan bantahan Raja Alias.

"Akhirnya dia tak ada pilihan dan swastakan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kalau diswastakan Felda semasa itu, kita tidak tahu bagaimana nasib peneroka pada hari ini," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap pada Program Lawatan Kerja dan Pelancaran Model Baru Lot Perumahan Generasi Baharu Felda oleh Perdana Menteri Datuk seri Najib Tun Razak di Felda Kumai di sini, pada Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Beliau menambah Dr Mahathir yang kini merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga tidak pernah memberi peruntukan khas kepada Felda sepanjang beliau memerintah negara selama 22 tahun.

Ini katanya, berbeza daripada pendekatan Najib yang telah melakukan pelbagai program dan memberi peruntukan khas kepada peneroka termasuk kepada generasi kedua dan seterusnya.

"Semua peruntukan dan projek yang dilaksanakan di bawah perdana menteri menunjukkan beliau prihatin dan sentiasa membela nasib peneroka. Sebab itu kita jangan percaya dengan pembangkang yang kata beliau mahu runtuhkan Felda.

"Perdana Menteri adalah orang yang paling sayang kepada Felda jika hendak dibandingkan dengan orang lain kerana yang mewujudkan Felda ialah ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein.

"Felda mempunyai nilai sentimental kepada beliau sebagaimana juga kalau kita ditinggalkan dengan peninggalan daripada orang tua... sudah pasti kita akan jaga sebaik mungkin," katanya.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera kemudiannya merujuk kepada peningkatan infrastruktur di 14 buah Felda di daerah ini, yang menurutnya menikmati kemudahan asas yang baik.

Mengambil contoh jalan raya, Ismail Sabri berkata Najib adalah individu yang meluluskan peruntukan bagi permohonannya untuk menaik taraf jalan raya dari Simpang Kerayong sehingga ke Triang dan Bukit Mendi yang turut memanfaatkan penduduk di Bentong dan Muadzam Shah.

"Sudah banyak jasa perdana menteri kepada kita di Bera dan saya harap penduduk di Bera dapat membalas jasa beliau dengan memberikan kemenangan besar di Parlimen Bera dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang," katanya.

-- BERNAMA