Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menimbang saranan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk melakukan rombakan kabinet, susulan kekalahan teruk Pakatan Harapan sewaktu Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, 16 Nov lepas.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Bersatu berkata, walaupun ia adalah prerogatif beliau untuk membuat rombakan, namun beliau juga harus mengambil kira bahawa Kerajaan Pakatan Harapan terdiri daripada lima parti komponen.

Atas sebab itu, beliau berkata, kajian terperinci akan dijalankan mengenai prestasi semasa kabinet, dan ia kemungkinan hanya boleh dilakukan sebelum persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan Malaysia anjurkan pada November, tahun hadapan.

“Tetapi bukanlah hari ini…bukan lah hari esok, tetapi setelah kita kaji dan teliti pencapaian dan kebolehan menteri yang ada sekarang ini. Dan selepas daripada itu barulah kita akan bincang dengan kemungkinan kita adakan reshuffle cabinet.

“Constrain (kekangannya), walaupun saya Perdana Menteri, saya perlu beri pertimbangan pada parti komponen. Ada lima parti komponen dan saya tak boleh dengan begitu mudah mengambil, menukar, atau menggugurkan mana mana pihak,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, hari ini.


Mengulas lanjut mengenai implikasi rombakan kabinet kepada APEC 2020, Dr Mahathir berkata, perubahan yang terlampau radikal tidak boleh dilakukan kerana ia akan mengganggu persiapan Malaysia sebagai tuan rumah.

“Saya berpendapat bahawa banyak lagi kerja yang perlu dibuat dan tahun depan kita hadapi masalah besar iaitu kita akan jadi tuan rumah kepada APEC meeting, dan ini tak boleh kita perkecilkan kerana ini adalah satu mesyuarat antarabangsa yang terpenting.

“Sebab itu kita akan buat persediaan secukup mungkin, tapi ini jadi satu halangan kepada radical change dalam kerajaan,” katanya lagi, merujuk kepada soalan adakah perubahan radikal itu termasuk kepada peralihan kuasa beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.