Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memasuki satu lagi episod baharu dengan pendedahan Muhammad Zahid Md Arip yang juga bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam sebuah rakaman video yang diterima Astro AWANI, Zahid yang didakwa sebagai dalang di sebalik kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendedahkan, bekas Perdana Menteri itu sedia maklum dengan keputusan pucuk pimpinan Bersatu yang berhasrat keluar dari gabungan berkenaan.

“Saya sahkan apa yang disebut Datuk Seri Hamzah (Zainuddin) (Setiausaha Agung Bersatu) tepat, benar dan tiada ada melainkan benar belaka. Kerana saya terlibat bersama beliau menjayakan cita-cita Tun (Dr Mahathir).

“Bukan itu sahaja saya terlibat mengatur beberapa pemimpin politik Melayu berjumpa Tun Mahathir, dua, tiga kali. Bukan di pejabat, tetapi di rumah Mahathir.

“Setiap pertemuan mereka (pemimpin Melayu) bertemu mengambil masa sejam lebih. Kalau sekali jumpa kunjungan hormat, tetapi kalau dua, tiga kali ada perbincangan tertentu bagi menjayakan cita-cita Tun," dakwa Zahid.

Tambah beliaunya, langkah politik yang digerakkan adalah bagi menjayakan cita-cita Ahli Parlimen Langkawi itu.

"Bukan hanya ingin menyekat DAP, Tun juga tidak mahu Anwar Ibrahim mengantikannya Perdana Menteri Malaysia ke-8.

"Saya tanya Tun hendak Anwar atau tidak, Tun geleng kepala. Saya kata kalau begini buat sesuatu langkah-langkah politik, bekerja kuatlah apa sahaja tapi jangan kaitkan nama beliau.

"Kita berusaha ke arah itu, Alhamdulilah hari ini kita keluar daripada Pakatan Harapan dan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri, DAP juga tidak ada dalam kerajaan," kata Zahid.

Mengulas dakwaan bahawa keputusan untuk keluar daripada gabungan PH dibuat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zahid berkata, sebelum itu, perkara berkenaan telah dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang turut diketahui Dr Mahathir.

"Mana boleh keputusan sebesar ini pandai-pandai Tan Sri Muhyiddin (putuskan) seorang. Macam didedahkan Datuk Seri Hamzah semalam sebelum berlaku mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, ada pertemuan di rumah Tun Dr Mahathir bincang nak keluar daripada Pakatan Harapan.

"Benda ini dalam pengetahuan Tun dan dibincang panjang lebar dalam Majlis Tertinggi. Kita dah buat keputusan dalam klip rakaman suara itu (seperti yang tular), semua orang boleh dengar, tidak betul ini bukan keputusan Tan Sri Muhyiddin seorang," ujar Zahid lagi.

BACA: Kelima-lima mereka tidak dipecat, tetapi keahlian mereka terhenti - Hamzah Zainuddin


Mengulas lanjut, beliau berkata, perbincangan dalam mesyuarat itu hanya mengenai keputusan Bersatu keluar daripada PH dan tidak menyentuh mengenai penubuhan kerajaan perpaduan.

"Inilah keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi, yang tidak dibuat keputusan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi ialah untuk hasrat Tun Dr Mahathir menubuhkan kerajaan perpaduan selepas dia berhenti sebagai Perdana Menteri.

"Perkara itu langsung tidak dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi. Untuk keluar daripada Pakatan Harapan kita bincang panjang lebar dan buat keputusan dalam MPT," kata Zahid.

Pada Jumaat, Hamzah dalam sidang media mendakwa beliau telah diarahkan oleh bekas Perdana Menteri itu supaya mengurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP yang juga sekutu Bersatu dalam gabungan PH.

Krisis dalaman Bersatu menjadi tumpuan seluruh negara apabila keahlian Dr Mahathir dalam parti yang diasaskan beliau terhenti pada Khamis lalu.

Menurut Hamzah, ini adalah kerana Dr Mahathir telah melanggar Perlembagaan parti.

Selain Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu, empat lagi yang terhenti keahlian mereka dalam parti ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.
BACA: 'Kami mahu pecat Muhyiddin ikut cara yang betul' - Dr Mahathir


BACA: Saya tidak tahu siapa calon PM dalam PH - Tun Mahathir