Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan mana-mana individu atau parti politik untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, pada masa kini beliau amat bimbang dengan hala tuju UMNO terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan datang.

"Tidak.. Tidak... Saya tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak (parti politik) untuk menjatuhkan Najib, bukan dengan pembangkang.

"Masalah saya adalah (masalah) dalaman UMNO. Pastinya ahli UMNO telah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Najib.

"Tapi kena ingat, PRU-13 lepas, siri perhimpunan diadakan, dihadiri ribuan orang, semua memegang sepanduk 'I love PM' dan nyanyikan lagu 1M4U. Tapi bila berdepan pilihanraya, prestasi Najib lebih teruk dari Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) dia mana (Pak Lah) tiada sepanduk 'I Love PM' dan semua itu. Keputusan Pak Lah lebih baik daripada Najib," tegas Mahathir.



Beliau menjawab soalan susulan laporan yang diterbitkan portal berita Malaysiakini bertajuk "Untuk selamatkan Malaysia, Kit Siang sedia bekerjasama dengan Dr M".

Selain itu, Mahathir turut mengakui ramai ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang berjumpa beliau bagi menyatakan kegusaran terhadap nasib UMNO dan Barisan Nasional.

Bagaimanapun, kata Mahathir, ahli parlimen tersebut enggan dilihat berjumpanya di mana pada masa sama mereka memberi sokongan kepada Najib.

"Ramai (ahli parlimen BN) berjumpa dengans saya, tapi mereka tidak mahu dilihat atau menyokong saya. Saya faham kegusaran mereka.

"Ramai orang ditahan...orang takut polis datang dan tangkap ke dalam (lokap). Mereka takut kalau mereka tunjukkan sokongan, mereka akan ditahan," katanya.



Mahathir ditemui pada 'Forum Antarabangsa: Menjenayahkan Perang, Menjana Keamanan' anjuran Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Selain ditemani isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali, hadir sama pada hari kedua forum tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.