Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan akan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri seperti yang dijanjikan beliau sebelum ini.

Janji berkenaan dibuat Dr Mahathir kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut sebagai bakal pengganti beliau dalam pertemuan empat mata pada Khamis.

Perbincangan mengenai peralihan kuasa menjadi tumpuan pertemuan Anwar dengan Dr Mahathir di Putrajaya seperti dikongsi Ahli Parlimen Port Dickson itu di akaun Twitter peribadinya.

Kata Anwar, dalam pertemuan itu, beliau membangkitkan isu peralihan kuasa susulan terdapat laporan yang menyebut ada usaha daripada PAS, UMNO dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan (akuan berkanun - SD) menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.

"Perdana Menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan.

"Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)," kata Anwar sambil menjelaskan perkara itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.


Anwar berkata, beliau turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018.

"Yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri ke-8.

"Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM," kata Anwar lagi.