Tun Dr Mahathir Mohamad menolak pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk membentuk kerajaan baharu bersama dengan UMNO dan PAS.

Menurut Perdana Menteri, sebagai sebuah negara berbilang kaum, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang merangkumi masyarakat majmuk dan tidak hanya terdiri daripada kaum tertentu semata-mata.

"Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baharu. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum dan pihak kerajaan daripada kita merdeka sehingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum.

"Itu sesuatu hakikat yang kita tidak boleh tolak bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan semua kaum mempunyai hak dalam negara kita," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamad yang mempelawa Dr Mahathir menubuhkan kerajaan baharu sekiranya pemimpin itu benar-benar ikhlas mahu menjaga martabat dan maruah orang Melayu.

Menerusi kenyataan di Facebok, Mohamad berkata, UMNO dan PAS harus diberi peranan signifikan dalam memulihkan negara ini, bukan sekadar menjadi penumpang sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.