Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyuarakan nada tegasnya terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat gagal menjalankan fungsi menghentikan peperangan.

Malah Dr Mahathir berkata terdapat banyak langkah yang dilakukan PBB hanya menyebabkan perang saudara terus tercetus.

“Saya sekali lagi ambil kesempatan dengan mengatakan kuasa veto telah gagal (berfungsi) meskipun PBB itu diwujudkan untuk menghapuskan perang.

“Malah mereka menjadi punca kepada peperangan di banyak kawasan.

“Perubahan regim diterima sebagai demokrasi dan ia menyebabkan berlakukan perang saudara dan PBB gagal menanganinya,” katanya dalam sidang media selepas Sidang Kemuncak ASEAN-PBB di Bangkok, Thailand.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata PBB akhirnya menerima kenyataan beliau sewaktu Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York.

“Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyebut apa yang saya sebutkan sewaktu di UNGA iaitu kita perlu mencari punca kepada keganasan yang berlaku.

“Cari punca keganasan berlaku dan ambil tindakan jika mahu hentikan keganasan,” katanya.

Dr Mahathir pada UNGA 2019 berkata sistem kuasa veto adalah tidak demokratik dan menggesa reformasi dilaksanakan segera.

Ini kerana pemegang kuasa veto mempunyai agenda tersendiri dan gagal membendung keganasan serta perang.

Malah beliau sifatkan disebabkan kuasa veto, PBB telah menjadi badan yang gagal menjalankan objektif digariskan sewaktu penubuhannya.