Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengagumi penguasaan teknologi Korea Selatan yang sekali gus mampu membantu negara-negara ASEAN termasuk Malaysia.

Jelasnya, negara itu juga sedia memindahkan teknologi terutama dalam sektor pengangkutan keretapi negara.

“Korea Selatan berjaya menguasai teknologi. Teknologi mereka sangat mengagumkan. Kami telah melawat ke kilang keretapi mereka. Hari ini saya dapat lihat keretapi mereka termasuk Maglev Train mereka dan apabila kami melawat Pameran Pemula Niaga, video dari televisyen betul-betul nampak macam orang,” katanya semasa sidang media bersama wartawan Malaysia selepas menghadiri hari terakhir Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 di sini pada Selasa.

Selain itu, Perdana Menteri turut menggariskan tiga hasil rumusan daripada sidang kemuncak berkenaan.

Ia termasuk penilaian terhadap hubungan ASEAN dan Korea Selatan, kesalinghubungan antara kedua-dua pihak dan penyelesaian melibatkan konflik Semenanjung Korea.

“Kami telah melihat kepada pertama kami telah selesai dengan (kerjasama rakan dialog) 30 tahun lalu dan kami mahu ia diteruskan untuk 30 tahun akan datang. Kedua, ialah melibatkan kesalinghubungan. Ketiga, kami juga membincangkan situasi melibatkan Korea Selatan dan Korea Utara,” ujarnya lagi.

Perdana Menteri juga berkata hasil Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 memberi faedah kepada Malaysia.

“Kita melihat kepada kemungkinan untuk bekerjasama dengan Korea Selatan dalam sektor pertanian umpamanya. Korea Selatan menanam strawberi dalam rumah. Hasilnya, strawberi itu juga manis,” tambahnya.

Katanya, Malaysia juga berminat untuk mempelajari teknologi Korea Selatan dalam bidang pertanian.

Perdana Menteri juga melihat rangkaian perhubungan ketika ini bukan hanya bergantung kepada laluan laut tetapi juga kepada pengangkutan udara.

“Laos adalah negara yang tidak bersempadan dengan laut. Mereka tiada pelabuhan. Namun sekarang, ia bukan hanya bergantung kepada pengangkutan laut. Pengangkutan udara adalah paling bernilai tinggi kerana didominasi oleh syarikat seperti DCL dan American Express,” tambahnya.

Justeru beliau berpendapat ASEAN perlu mempunyai keupayaan teknologi seperti Korea Selatan terutama dalam aspek pengangkutan.