Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lancarkan filem web berjudul UNI sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada sambutan ulang tahun ke-45 Petronas, Sabtu malam.

Filem web itu mengetengahkan elemen ‘mini Malaysia’, iaitu ia memaparkan kehidupan berbilang kaum dalam kampus universiti yang sarat dengan nilai murni.

Cerita ini juga merupakan satu refleksi sambutan perayaan Petronas 2019 yang bertemakan ‘Anugerah Kita’ bagi memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Filem itu dilancarkan pada konsert sambutan ulang tahun ke-45 Petronas, Bersama Merentas Zaman di hadapan bangunan ikonik negara, Menara Berkembar Petronas.


Konsert itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh 45 artis tempatan termasuk, Faizal Tahir, Ella, M Nasir, Sean Ghazi, Jaclyn Victor, Reshmonu, Vince Chong, Misha Omar, dan ramai lagi.


Tun Mahathir turut ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Kira-kira 30,000 hadir memeriahkan konsert itu yang bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam.