Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerima Anugerah Khas Kelestarian Canselor oleh Universiti Sains Malaysia (USM) atas bakti beliau kepada negara dan masyarakat global.

Dr Mahathir akan menerima anugerah tersebut pada upacara Konvokesyen Komemoratif sempena ulang tahun ke-50 tahun universiti itu pada Isnin.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata bagaimanapun Dr Mahathir tidak dapat hadir pada majlis itu berikutan terdapat urusan rasmi lain dan USM akan membuat tayangan video sempena upacara itu esok.

"Konvokesyen akan menyaksikan penganugerahan USM kepada negarawan Tun Dr Mahathir atas sumbangan besar beliau kepada negara dan masyarakat global. (Tun) tidak dapat bersama tapi InsyaAllah (anugerah) akan diberi di istana di Perlis," katanya pada sidang akhbar di USM di sini, hari ini.

Dr Asma berkata, anugerah itu akan disampaikan Tuanku Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang akan diadakan di Istana Arau, Perlis pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Dalam pada itu, Asma berkata, selain Dr Mahathir, USM juga turut mengiktiraf beberapa tokoh terkemuka antaranya menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan kepada Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David atas sumbangannya terhadap kemajuan ilmu sains sukan.

USM juga menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada penerima Hadiah Nobel dalam bidang Fizik (2014), Prof Dr Shuji Nakamura dan Ijazah Kehormat Sarjana Pentadbiran Awam kepada mantan Pendaftar Wanita Pertama USM, Datuk Siti Mazenah Saad.

Mengulas lanjut mengenai sidang konvoksyen ke-57, Asma berkata, seramai 6,338 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Kehormat, Profesor Emeritus, Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Kejururawatan yang akan bermula dari Selasa hingga Ahad ini.

USM turut menganugerahkan beberapa anugerah kepada graduan cemerlang.

Ia membabitkan Anugerah Pingat Emas Canselor; Anugerah Pelajaran Diraja oleh Majlis Raja-Raja Malaysia bagi kategori Pelajar Terbaik Bumiputera dan Bukan Bumiputera , Anugerah Pingat Emas Naib Canselor untuk Pemimpin Pelajar Cemerlang, Hadiah Pingat Emas USM bagi Pelajar Kelainan Upaya serta Anugerah Pingat Emas USM untuk Pelajar Tahun Akhir Terbaik Lapangan Sukan.