Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan daripada mangsa insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand, di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya.

Menerusi catatan di laman Twitter dan Facebook rasmi Perdana Menteri, mangsa kejadian, Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar hadir bersama keluarga masing-masing.

"Dalam pertemuan tersebut kedua-dua mereka berkongsi rasa tidak berdendam selepas kejadian tersebut sebaliknya bersyukur melihat sokongan yang diberikan rakyat dan kerajaan New Zealand, malah melihat rakyat negara itu menunjukkan minat untuk memahami dan mempelajari berkenaan Islam," menurut catatan itu yang turut disertakan dengan empat keping gambar berhubung pertemuan berkenaan.

Rahimi dan Mohd Nazril Hisham merupakan dua daripada tiga rakyat Malaysia yang cedera ketika insiden tembakan rambang yang berlaku pada Jumaat, 15 Mac lalu.


Seorang lagi mangsa yang cedera ialah Mohd Tarmizi Shuib yang turut kehilangan anak lelakinya Muhammad Haziq, 17.

Muhammad Haziq merupakan antara 50 orang yang terbunuh dalam tembakan rambang tersebut yang dilakukan seorang lelaki pengikut ideologi ketuanan bangsa kulit putih di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch.

-- BERNAMA