Pemimpin Bumi Kenyalang, Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jumaat berkesempatan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek, Kuching.

Kedua pemimpin tersebut dilihat segak mengenakan baju Melayu, tetap patuh pada prosedur operasi standard (SOP) termasuk menjaga penjarakan sosial diantara masing-masing.

Pemakaian pelitup muka juga tidak diabaikan oleh Tun Taib dan Abang Johari.

Walaupun bersederhana dalam sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini, pematuhan garis panduan oleh para pemimpin menjadi cerminan bahawa Sarawak masih lagi berjuang menentang COVID-19.

Ia juga menggambarkan keseriusan kerajaan negeri itu dalam menentang penularan virus berkenaan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilihat melangkah masuk ke Masjid Jamek Kuching pada Jumaat jam 7.30 pagi -Gambar Astro AWANI

Selain TYT dan Ketua Menteri, turut hadir bagi menunaikan kewajipan tersebut, Menteri Muda Hal Islam dan Bekalan Air, Datuk Abdul Rahman Junaidi dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Misnu Taha.