Mufti Perlis Datuk Dr. Juanda Jaya menyarankan supaya perkhidmatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dipertingkatkan memandangkan ramai pesakit yang terpaksa menunggu hingga berjam-jam bagi mendapatkan rawatan.

"Saya sendiri terpaksa menunggu hampir lima jam di Bahagian Kecemasan hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan akhirnya hanya menerima panadol serta ubat luka," katanya.

Juanda membuat saranan itu berikutan kedatangannya ke HUS untuk mendapatkan rawatan bersama isterinya ekoran mereka dirompak di rumah di Samariang, dekat sini oleh dua lelaki bersenjatakan pedang samurai, awal pagi Sabtu.

Insiden kira-kira 4.30 pagi itu menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM50,000 selepas wang tunai serta pelbagai barangan kemas termasuk cincin perkahwinan dilarikan perompak berkenaan.

Isteri beliau turut cedera di tangan dan muka manakala pembantu rumah mereka mengalami kecederaan di belakang kepala dan mulut.