Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak untuk menahan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho selepas mendapat maklum balas dari pihak berkuasa Macau.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata setakat ini, PDRM sudah menghantar permohonan kepada tujuh negara dalam mendapatkan kerjasama bagi memburu Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low untuk dibawa pulang ke negara ini.

"Sebarang tindakan ke atas Jho Low di negara terbabit hanya dapat dilakukan selepas PDRM memperoleh maklum balas serta kerjasama dari pihak berkuasa Macau," kata Fuzi.

Tambah beliau, pihaknya sebelum ini sudah menghantar permohonan untuk mendapatkan maklumat dalam usaha menahan Jho Low kepada tujuh negara termasuk China.

Selain itu, Fuzi berkata notis merah turut dikeluarkan melalui Interpol.

"Daripada semua permohonan berkenaan hanya pihak berkuasa Hong Kong yang memberikan butiran semasa Jho Low berada di Hong Kong minggu lalu," katanya dalam sidang media selepas perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Polis di ibu negara, hari ini.

Menurut Fuzi, usaha dilakukan untuk menahan Jho Low di Hong Kong, namun apabila pegawai PDRM tiba di sana, Jho Low dipercayai sudah melarikan diri ke Macau dengan menaiki feri.