Polis akan mengambil keterangan Tan Sri Musa Aman berhubung laporan polis yang dibuat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selepas bekas Ketua Menteri Sabah pulih daripada masalah kesihatan yang dialaminya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, perkara itu dibuat selepas menerima laporan kesihatan Musa.

Musa yang tiba di tanah air sekitar jam 6.45 petang semalam dan kini dilaporkan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor.

"Pihak polis tidak akan mengambil keterangan terhadap beliau ketika ini kerana faktor kesihatan," katanya ketika dihubungi AWANI, hari ini.

Dalam pada itu, Ramli juga mengingatkan para wartawan supaya berhati-hati dalam membuat laporan berkaitan bekas Ketua Menteri itu bagi mengelakkan kesihatannya terganggu.

Untuk rekod pada 14 Mei lepas, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membuat laporan polis terhadap Musa yang dipercayai berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan Ketua Menteri.

Sebaik sahaja laporan polis dibuat, percakapan Juhar turut diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Musa telah mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di hadapan Juhar dua hari kemudian (12 Mei) selepas beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri daripada BN mengubah haluan parti kepada Warisan.