Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengambil peluang sebagai anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan penuh sama ada beliau pernah menyalahgunakan dana persekutuan selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir juga memberi amaran, Tunku Abdul Aziz perlu meminta maaf jika tiada bukti ditemui yang melibatkan beliau menyalahgunakan dana persekutuan ketika berkhidmat sebagai perdana menteri.

"Sebagai anggota SPRM, dia boleh membuat siasatan penuh ke atas rekod saya bagi mengetahui berapa bilion yang saya curi daripada kerajaan seperti yang dibayangkannya.

"Jika dia gagal berbuat demikian, dia harus sekurang-kurangnya meminta maaf," tulis beliau dalam blognya chedet.cc.

Dr Mahathir berkata Tunku Abdul Aziz sepatutnya bertanya kepada ahli perniagaan Jho Low dan Riza Aziz -anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak- bagaimana mereka mempunyai wang ratusan juta dolar.

"Sebagai seorang yang mengaku mengambil berat mengenai rasuah, bukankah beliau sepatutnya bertanya bagaimana Jho Low dan Riza Aziz mempunyai ratusan juta dolar?" soal Dr Mahathir.

"Bukankah beliau sepatutnya berminat dengan penjawat awam yang hidup mewah melebihi tahap pendapatan mereka?" tulisnya.

Beliau juga bertanya Tunku Abdul Aziz, sama ada beliau mengalami "kesedaran selektif tentang apa yang berlaku di sekitarnya."

Bekas perdana menteri berkata demikian bagi mengulas komen Tunku Aziz terhadapnya, termasuk berhubung skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Dr Mahathir turut menyoal tindakan Tunku Abdul Aziz menggunakan "asas yang tidak kukuh" untuk "menuduh" beliau terlibat dalam skandal Bumiputera Malaysia Finance Limited (BMF) beretika atau tidak.

Sebelum itu, Dr Mahathir menolak cubaan Tunku Abdul Aziz membandingkan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekarang dengan skandal Bank Bumiputra pada 1980-an, ketika beliau menjadi perdana menteri.

Hampir AS$1 bilion (RM2.4 billion pada waktu itu) dipinjamkan Bank Bumiputra kepada dua syarikat pelaburan melalui anak syarikat milik penuhnya, BMF dan salah satu daripadanya kemudiannya diisytiharkan muflis.

Mahathir berkata beliau tidak "mencuri" wang dan beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam bank tersebut atau pengurusannya serta terlibat dalam proses membuat keputusan.