Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyambut hari kelahiran ke-93 pada 10 Julai (Selasa) ini, dan rakyat Malaysia dipelawa untuk bersama-sama memeriahkannya dengan menghantar mesej ulang tahun kepadanya.

Sejak 7 Julai, orang ramai terutamanya netizen mula menyampaikan mesej mereka menerusi semua platform media sosial Astro AWANI iaitu Twitter, Instagram dan Facebook. Semuanya disertai hashtag #TunM93.

Pelbagai kata dan lafaz semangat, terima kasih, ucapan kesejahteraan, dan harapan tentang masa depan tanah air dizahirkan. Tidak ketinggalan, ada juga yang sempat bertanyakan tentang rahsia kesihatan Dr Mahathir.

Mesej-mesej terbaik itu telah dihimpunkan untuk disiarkan secara terus di saluran 501 Astro AWANI bermula 8 Julai sehingga melepasi hari kemuncak sambutan iaitu pada Selasa nanti.

GALERI FOTO: Di sebalik tabir 'Doctors In The House'


Banyak ucapan berbentuk video juga diterima dan beberapa yang terpilih telah dijadikan kompilasi seterusnya disiarkan dalam bentuk kapsul pendek dalam Buletin AWANI 12 dan AWANI 7:45.

Sementara itu, Astro AWANI juga menyediakan sebuah program khas Doctors In The House yang akan bersiaran pada 10 Julai ini, jam 8.15 malam.

Menerusi program itu, penonton akan dapat melihat Dr Mahathir bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah menyambut kedatangan doktor pakar, Tan Sri Dr Yahya Awang, dan berbual santai di kediaman mereka.

Pastinya, topik penjagaan kesihatan menjadi pilihan bagi ketiga-tiga tokoh dengan latar belakang perubatan ini!


Selain itu, di laman web www.astroawani.com pula, disediakan beberapa artikel menarik tentang beberapa tokoh masyarakat, pemimpin organisasi, kenalan keluarga dan selebriti yang berbicara tentang sifat dan keperibadian Dr Mahathir.

Semua pengisian tersebut mempelbagaikan lagi pilihan pembacaan pengunjung laman web Astro AWANI, selain disajikan variasi berita menarik dari dalam dan luar negara.

Oleh itu, sertai jutaan rakyat Malaysia lain yang menyampaikan ucapan selamat hari ulang tahun dan penghargaan mereka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jangan lupa, sertakan ucapan anda dengan hashtag #TunM93.