Tuntutan pembayaran balik cukai input bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang masih berbaki, tidak dapat dilaksanakan kerana wang yang telah dibayar sebagai pendahuluan tidak dimasukkan ke dalam akaun amanah kerajaan semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Mendedahkan perkara tersebut, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata wang pendahuluan itu sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun dana yang disatukan dan dianggap sebagai hasil oleh kerajaan Barisan Nasional.

“Wang itu telah digunakan oleh kerajaan terdahulu terlebih dahulu, itu sebabnya (kenapa tuntutan cukai input GST tidak dapat dilaksanakan),” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata bayaran yang sepatutnya dibayar balik dalam masa dua minggu itu tertangguh hingga dua tahun.

“Ini perompakan serius, yang mana wang yang patut ada dalam akaun amanah tidak ada dalam akaun amanah, bagaimana kerajaan sekarang boleh bayar (kepada penuntut cukai input) kalau tak ada dalam akaun amanah?” katanya.

Menjawab celahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang mahu Guan Eng membuktikan dakwaannya, Guan Eng berkata beliau akan membentangkan butiran mengenai perkara berkenaan semasa pembentangan RUU Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018.

Beliau berkata berbeza dengan GST yang juga cukai pelbagai peringkat, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diusul bagi menggantikan GST adalah cukai satu peringkat.

“Cukai ini adalah cukai seperingkat tidak perlunya input tax (cukai) untuk minta refund (kembalian wang) dibuat. Ini adalah sebabnya kita perlukan satu sistem pencukaian satu peringkat yang saya rasa lebih mudah dan jelas, supaya masalah tuntutan tak dibayar balik tak timbul lagi,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa penggantian cukai GST kepada SST dibuat bagi meringankan beban rakyat dan akan melihat sebanyak 5,445 barangan dikecualikan cukai berbanding GST, 545 barangan.

RUU itu kemudian diluluskan Dewan Rakyat walaupun ia cuba diserahkan kepada satu jawatankuasa pilihan oleh pihak pembangkang.

Perkara itu diusulkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran) selepas selesai sesi penggulungan perbahasan, namun tidak dipersetujui majoriti Ahli Dewan Rakyat sebelum beliau meminta undian belah bahagi dilakukan.

Undian belah bahagi kemudian menyaksikan 111 Ahli Dewan Rakyat tidak bersetuju, 51 bersetuju dan empat tidak mengundi.

-- BERNAMA