Kementerian Sumber Manusia melonggarkan syarat kemasukan ke institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kendaliannya, termasuk menerima pakai kelulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Malah, kementerian juga sedang berbincang dengan masyarakat Orang Asli untuk membenarkan anak-anak mereka memasuki institusi itu, walaupun tidak mempunyai kelayakan dari segi pelajaran.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM4 bilion setahun untuk memberi latihan teknikal dan vokasional.

“TVET dalam negara kita setakat ini hanya 65 peratus diisi, kenapa kita nak bazirkan 35 peratus lagi.

“Kita mahu tarik lebih ramai pelatih dan kita juga memudahkan kemasukannya, bukan UEC, sekolah Cina, sekolah Tamil atau sekolah Melayu, dari mana-mana pun kita boleh ambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai TVET kepada guru-guru di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, program itu adalah yang pertama diadakan dan akan diperluaskan ke seluruh negara.

Di samping itu, katanya, selain guru, Kementerian Sumber Manusia juga akan mengadakan interaksi dengan pelbagai pihak untuk menggalakkan lebih ramai memasuki TVET.

Ujarnya, setakat ini negara mempunyai 28 peratus pekerja mahir dengan sasaran 35 peratus tahun hadapan.

Kula Segaran memberitahu, sehingga kini, 94 peratus lepasan TVET di negara ini telah berjaya memasuki sektor pekerjaan.