Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu menyarankan penduduk luar bandar mengubah cara meningkatkan pendapatan dan menerima kaedah baharu dalam bidang pertanian moden.

Menurut Perdana Menteri, masyarakat luar bandar kekal miskin kerana mereka masih menggunakan cara lama dalam kegiatan ekonomi harian.

Katanya, terdapat potensi dalam bidang pertanian kerana permintaan terhadap makanan yang tinggi, berikutan jumlah penduduk negara yang terus meningkat.

Dr Mahathir berkata, sekiranya masih menggunakan cara lama ia akan menyebabkan kerajaan terpaksa mengimport makanan dari negara lain.

"Kita akan hadapi masalah bila kita bergantung sangat kepada satu tumbuhan sahaja, jatuh harga getah, kita tak ada yang lain untuk bergantung, jatuh harga minyak sawit, kita menangis.

"Tetapi kalau jatuh (harga) minyak sawit, kita jual sayur, kita jual buah-buahan, kita jual ikan ternakan, kita boleh jual apa saja dalam sawah padi pun. Kita boleh bela udang karang yang cukup disukai oleh negara China.

"Orang China ini, bilangan dia banyak, dia ada 1.4 bilion manusia. Kalau kita jual durian kepada mereka, harga durian mesti naik sebab permintaan mereka banyak, sampai dia bayar harga tinggi, kita pun kena beli dengan harga yang tinggi," katanya.



Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Mesra Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, di Dewan Orang Ramai Taman Bersatu, di sini, malam tadi.

Dr Mahathir berkata, petani sepatutnya dapat mengeluarkan banyak makanan seperti beras dan produk lain, jika mengamalkan kaedah pertanian baharu.

Disebabkan itu, kerajaan mencadangkan pemilik tanah mencantumkan tanah kecil mereka menjadi ladang yang dapat diurus individu terlatih.