Seorang amah warga Kenya dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan mengugut untuk membunuh keluarga majikannya Ogos lalu.

Tertuduh, Skeetar Rigine Lameck, 36, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah di depan majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, yang dibacakan dalam Bahasa Inggeris, tertuduh membuat ugutan jenayah untuk membunuh isteri majikannya, Hanim Salim A Hore, 33, dan keluarganya di Swiss Garden Hotel di sini sekitar 930 malam 21 Ogos lalu.

Justeru, tertuduh yang telah tiga tahun berkhidmat sebagai pembantu rumah majikannya di Arab Saudi, didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Prosiding, yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari, memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan juga masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan memandangkan dia menanggung tiga anak serta ibu di negara asalnya.

Tertuduh juga memberitahu dia datang ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga majikannya.

Sejurus mendengar hujahan kedua belah pihak, Mohd Firdaus kemudian menjatuhi hukuman penjara terhadap tertuduh dari tarikh ditahan pada 23 Ogos lalu.