Padah mengugut dan mencederakan rakan serumah menggunakan pisau selepas dikatakan bengang wanita itu tidak menjaga kebersihan dapur, seorang pekerja salon akhirnya dijatuhi hukuman penjara 32 bulan.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh, Nur Qistina Abdullah, 23 tahun didapati bersalah atas dua pertuduhan mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman 16 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengacukan pisau ke leher mangsa, Nurbati, 44, yang merupakan seorang warga Indonesia.

Perbuatan itu dilakukan di rumah sewa mereka di Wisma Yien Tien, di Jalan Balik Bukit, Kuala Terengganu kira-kira jam 8.18 malam pada 29 Oktober lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap mangsa di alamat, waktu dan hari sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah hanim di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.