Buat masa ini, tiada keperluan untuk Kementerian Pendidikan membuka pintu Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajar berbilang kaum, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, masih banyak perkara asas yang lebih mendasar dalam sistem pendidikan negara yang perlu diperbaiki dan perlu diberi keutamaan oleh kementerian ketika ini.

“Kita ketika ini sedang merangka semula banyak program dalam menstruktur semula sistem pendidikan di Malaysia.

"Jadi, saya lihat belum ada keperluan untuk membuka (UiTM kepada pelajar bukan bumiputera). Kerana, bagi saya, yang kita perlu usahakan sekarang adalah reformasi di peringkat asas,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Menurut Fahmi, kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan ketika ini perlu lebih fokus kepada banyak isu utama yang masih belum diselesaikan.

“Kementerian Pendidikan masih banyak tugas. Masih belum lagi sampai ke peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Saya ambil contoh di Universiti Malaya (UM). Ada kegusaran di peringkat pengurusan UM apabila mereka mendapati bagi 2019, ada pemotongan hampir 10 peratus daripada peruntukan bagi tahun ini," katanya.

Tambah Fahmi, bukan sahaja masalah melibatkan mencari sumber pendapatan yang baharu, malah IPT itu katanya, bergelut dalam meraih dana dengan cara lain.

Dalam usaha memastikan IPTA dan IPTS benar-benar bebas dan mempunyai autonomi sendiri, katanya, satu penstrukturan atau reformasi mengenai dana juga diperlukan bagi memastikan setiap universiti itu memiliki keupayaan.

Perkara ini penting dalam menentukan setiap pelajar yang keluar daripada universiti itu mampu berdaya saing dan diterima oleh pihak industri.