Sekumpulan pengunjung di Pekan Membakut panik seketika apabila dikejutkan dengan kehadiran seekor ular hitam yang sedang menyorok berhampiran longgokan bungkusan bawang dalam kejadian di sebuah kedai runcit di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi tadi, insiden berkenaan disedari salah seorang pengunjung yang terserempak kelibat 'tetamu tidak diundang' itu sedang berlingkar di kawasan berkenaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort Mohd Mayroof Koibil, dalam kenyataan hari ini berkata, panik dengan kejadian itu, saksi kemudiannya memaklumkan perkara tersebut kepada pemilik kedai runcit sebelum bertindak menghubungi pasukan keselamatan.

 Ular tedung hitam sepanjang dua meter yang ditemukan di dalam kedai berkenaan. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

"Bertindak atas maklumat diberikan, sebuah jentera dengan kekuatan seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menangkap ular itu.

"Setibanya di lokasi kira-kira jam 8.52 pagi, kita menemukan ular hitam sepanjang dua meter itu sedang berlingkar berhampiran longgokan bungkusan bawang di kedai tersebut sebelum operasi menangkapnya dijalankan," katanya.

Beliau berkata, pihak APM Beaufort mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum berjaya menangkap reptilia berbisa itu.

Anggota APM Beaufort sedang menjalankan operasi menangkap ular di sebuah kedai runcit berhampiran Pekan Membakut, Membakut. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

"Operasi berkenaan berjaya ditamatkan pada jam 9.05 pagi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Berdasarkan maklumat awal dan pemeriksaan, kita percaya ular itu muncul akibat cuaca panas di daerah ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Mayroof berkata, ular tersebut sudah dibawa ke pejabat APM Beaufort untuk tindakan seterusnya bagi diserahkan kepada pihak berwajib.