Universiti Malaya (UM) mencatatkan peningkatan yang mantap dalam kalangan universiti utama dunia apabila tujuh disiplin akademiknya disenaraikan dalam 50 terbaik QS World University Rankings mengikut Subjek 2018.

Subjek terbabit ialah Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat yang berkedudukan ke-24, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (30), Pengajian Pembangunan (30); Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan (41); Kejuruteraan Kimia (42); Kejuruteraan Awam dan Struktur (46); serta Galian dan Perlombongan (47).

Dalam kenyataan di sini, UM berkata ia juga mencatatkan 21 subjek dalam 100 terbaik tahun ini berbanding 19 subjek pada 2017.

"Pencapaian rekod lima subjek kejuruteraan dalam 50 teratas membantu melonjakkan Kejuruteraan dan Teknologi UM ke tangga ke-22 daripada ke-35 pada 2017 bagi subjek luas," katanya.

Bagi kategori Sains Sosial dan Pengurusan, UM di tangga ke-45 (ke71 pada 2017) sementara untuk kategori Kesenian dan Kemanusiaan UM berkedudukan ke-65 (ke-85 pada 2017).

Naib Canselor UM Datuk Dr Abdul Rahim Hashim menyifatkan pencapaian itu adalah hasil produktiviti yang tinggi warga kerjanya serta komitmen dan dedikasi mereka selain penyelidikan dan pengajaran yang cemerlang sambil mengusahakan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas mereka.

'Keputusan ranking ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa akan kualiti fakulti serta siswazah UM," katanya.

-- BERNAMA