Ratusan umat Islam berhimpun secara aman di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap individu yang menghina Nabi Muhamad SAW.

Perhimpunan anjuran Dewan Pemuda Pas Selangor bersama badan bukan kerajaan (NGO) lain itu diadakan sejurus selepas solat Jumaat, dan bertujuan mempertahankan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Selangor, Datuk Deepakaran Karupiah berkata himpunan itu adalah inisiatif orang ramai yang cintakan Islam dan ingin menyuarakan rasa tidak puas hati apabila ada individu yang menghina agama kaum lain.

"Kita hidup dalam negara yang berbilang bangsa dan kaum. Di dalam rukun negara yang pertama juga menyatakan tentang kepercayaan kepada Tuhan.

"Pada saya perbuatan menghina dan mencemarkan kesucian agama kaum lain adalah tidak patut dan perlu diberikan hukuman yang keras," jelasnya.

Tambah beliau, himpunan tersebut merupakan desakan kepada kerajaan untuk tidak mengambil ringan tentang isu penghinaan agama yang boleh menyemai kebencian kaum di negara ini.

"Walaupun saya datang dari bangsa lain, saya dipanggil ke sini untuk menghormati perpaduan kaum yang ada di negara ini," Deepakaran berkata.

Perhimpuan itu juga bertukar sebak apabila laungan kalimah "Allahuakhbar" di sambut oleh peserta himpunan sepanjang ia berlangsung.