Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia mengadakan solat jenazah ghaib buat Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din yang meninggal dunia di Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Jamil Khir dalam satu kenyataan meminta agar solat jenazah ghaib itu dibuat sebaik sahaja mendapat maklumat bahawa segala urusan berkaitan di sana (AS) telah disempurnakan.

Beliau turut menyarankan agar semua masjid utama dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dapat melaksanakan solat jenazah ghaib itu.

"Saya juga memohon kerjasama Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri agar dapat meminta seluruh masjid di negeri masing-masing untuk bersama melaksanakan solat jenazah ghaib," katanya.

Beliau turut berharap supaya seluruh anggota keluarga Allahyarham bersabar dan tabah dengan ujian ini serta berdoa agar rohnya dicucuri rahmat.

Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din yang merupakan adik kepada Allahyarham ketika dihubungi Bernama memaklumkan, setakat ini keluarga arwah belum membuat memutuskan sama ada untuk membawa balik jenazah atau menguruskan pengebumian di sana.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) selepas dimasukkan ke Hospital Stanford University, San Francisco, bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.