Ahli UMNO diseru agar menjaga imej parti Melayu terbesar itu meskipun ia sudah kehilangan kuasa tahun lalu.

Timbalan Presiden parti yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jika UMNO buruk, Melayu juga akan terkena tempiasnya.

Justeru, saf kepimpinan dan akar umbi parti itu perlu terus diperkuatkan bersama rakan seperjuangan, Pas, dalam menjaga nama baik UMNO dan Melayu, kata Mohamad, lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat.

"Ketika ini, seluruh rakyat Malaysia sedang memerhati, orang menunggu dan melihat, bagaimana orang Melayu mengemudi struktur politik sosial dan kepercayaan selepas tidak berkuasa lagi.

"UMNO sebagai wadah Melayu terbesar negara harus hati-hati dalam tindak tanduk kita. Segala buruk UMNO akan memberi tempias kepada orang Melayu.

"UMNO bukan hanya parti politik, tetapi pancaran rohani bangsa Melayu," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-73 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Mohamad, dalam ucapannya di hadapan kira-kira 2,000 ahli UMNO, turut mengingatkan bahawa parti Melayu terbesar itu tidak musnah atau hancur seperti anggapan sesetengah pihak.

Sebaliknya, katanya, UMNO bangkit dengan perjuangan Melayu dan Islam, dengan kerjasama Pas.

"Tiba masanya untuk memberi nafas baharu mengenai perkara ini. Ahli-ahli UMNO dan Pas, kita bersaudara. Namun begitu, keegoan politik telah memberi sengketa kepada kita dalam tempoh yang lama.

"Oleh itu, kita kena runtuhkan tembok-tembok negatif tersebut dan bina makna dan kesepakatan baru atas semangat politik Melayu dan Islam dengan cara kita sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan yang turut hadir pada sambutan itu berkata, pertelagahan antara kedua-dua parti itu perlu dijadikan tauladan.

Malah, sebagai blok pembangkang, katanya, sudah tiba masanya bagi Pas dan UMNO berjuang atas nama Melayu dan Islam.

"Dalam sejarah politik tanah air, antara Pas dan UMNO sering bertembung, bukan hanya semasa pilihan raya, mungkin di luar pilihan raya juga atas sentimen parti politik.

"Saya kira itu pengalaman yang boleh kita pelajari supaya kita boleh bangkit semula. Kerana, di atas perpecahan, pergaduhan, umat Islam, orang Melayu dalam dua parti terbesar ini, yang gembira ialah musuh Islam, iaitu orang yang tidak mahu melihat penyatuan umat Islam di negara kita.

"Saya akui pengalaman yang dilalui itu mungkin bukan sahaja akibat keegoan, tetapi salah faham dan kesilapan sebelah pihak," kata Nasruddin.