Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disaman oleh dua Ketua UMNO Bahagian Pulau Pinang dan sebuah syarikat pemaju perumahan berhubung dakwaan mereka mengkhianati orang Melayu di negeri itu.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir, yang juga Setiausaha UMNO Negeri, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar, serta Maison Height Sdn.Bhd, memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Jan lepas.

Musa dan Omar, selaku plaintif kedua dan ketiga serta Maison Height, selaku plaintif pertama memfailkan saman melalui firma guaman, Tetuan Abu Bakar As-Sidek dan dokumen writ saman tersebut diperoleh pemberita pada Khamis.

Selain Lim, pihak plaintif turut menamakan TMI Dot Com Sdn. Bhd., (pemilik portal Malaysia Insider), Jahabar Sadiq (editor Malaysia Insider), Mkini Dotcom Sdn. Bhd., (pemilik portal Malaysiakini) dan Stevan Gan (editor Malaysiakini) sebagai defendan pertama hingga kelima.

Peguam Datuk Abu Bakar As-Sidek, yang mewakili kesemua plaintif, memberitahu pemberita bahawa Timbalan Pendaftar, K. Pavani menetapkan 2 April ini untuk pengurusan kes.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Lim telah mengarang sebuah artikel bertajuk 'Pembohongan Umno' dan kemudiannya telah diterbitkan oleh Malaysian Insider pada 27 Nov tahun lepas di bawah tajuk 'Stop Spreading Lies about Penang Government, Guan Eng tells Umno'.

Pada hari berikutnya, Lim sekali lagi didakwa berniat jahat menyebabkan artikel 'Umno made profits by selling Malay kampungs' diterbitkan di portal Malaysiakini.

Plaintif mendakwa tiga artikel tersebut membawa maksud bahawa syarikat Maison Height adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan dengan niat menipu dalam transaksi jual beli tanah di Balik Pulau dan mengaut keuntungan daripada hasil jualan tersebut.

Plaintif mendakwa artikel tersebut juga membawa maksud Musa dan Omar telah mengkhianati orang Melayu dan sengaja mengaburi mata rakyat serta tidak boleh dipercayai.

"Perkataan fitnah tersebut adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat hingga terjejas peniagaan, reputasi peribadi.

"Ekoran penerbitan perkataan fitnah itu, plaintif dikecam teruk di media sosial dan media massa," kata plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan satu injunksi untuk menghalang defendan menyatakan, menerbitkan secara lisan, media cetak atau internet artikel tersebut.

Turut dimohon ialah kos dan perintah bahawa defendan membuat permohonan maaf secara bertulis untuk diterbitkan di surat khabar.