UMNO tidak berhasrat untuk mengubah semula pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 yang telah menghadkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong.

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun berpendapat, masih ada ruang penambahbaikan supaya pindaan yang telah dibuat itu memberi kebaikan untuk negara.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengatakan pindaan yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pemerintahannya adalah atas dasar kepentingan peribadi bekas Perdana Menteri itu.

"Kita tak boleh nak 'alih tiang gol' kerana kita juga terpaksa bertanggungjawab kepada tindakan yang dilakukan semasa kita juga memimpin ketika itu.

"Benda yang berlaku biarlah berlaku, tetapi sekarang sama ada kita nak perbaiki keadaan banyak bergantung kepada sokongan dan mandat yang diberikan rakyat kepada kita (UMNO dan Barisan Nasional)," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di Setiawangsa hari ini.

Tegas Hishammuddin, konsistensi dalam perjuangan amat penting kerana ia akhirnya akan dinilai rakyat untuk meletakkan kepercayaan mereka kepada sesebuah parti.

"Hujah Tun M (Tun Mahathir) ketika itu adalah untuk memastikan tiada pihak atau mana-mana institusi tertentu boleh menidakkan usaha kita membentuk negara bangsa.

"Tetapi kini kita lihat hujahnya berbeza sehingga kadang-kadang kita tertanya kepada diri sama ada pada ketika itu mereka betul-betul ikhlas minta kita sokong usaha itu, cakap tak serupa bikin," ujarnya.

Justeru penting katanya untuk gelombang kebangkitan dan kesedaran menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bermula sekarang dalam meneguhkan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai satu-satunya parti yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Dalam catatan blog chedet.cc, Tun Dr Mahathir memohon maaf kepada Yang Di-Pertuan Agong kerana pindaan perlembagaan yang menyebabkan perkenan Raja-raja Melayu tidak lagi diperlukan dalam mewartakan sesebuah undang-undang.

Ia susulan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diwartakan dan menjadi undang-undang mulai 1 Ogos, 2016 walaupun tanpa mendapat persetujuan Yang Di-Pertuan Agong.

Selepas diwartakan, MKN kini memberi Perdana Menteri kuasa untuk mengisytiharkan zon keselamatan, di mana pasukan keselamatan akan mengambil alih.

Bagaimanapun, beliau tetap mempertahankan tindakan tersebut dengan menjelaskan ia tidak meliputi semua undang-undang.

Kata beliau, beberapa undang-undang yang diluluskan Parlimen masih perlu mendapat tandatangan Seri Paduka Baginda, termasuk 30 prosiding dalam Perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong tanpa mendapatkan nasihat Perdana Menteri.

Begitu juga hak dan kuasa mengisytiharkan darurat yang merupakan keistimewaan yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong memandangkan implikasinya amat serius.