Kelab Mahasiswa UMNO (Umnosiswa) menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyelaraskan semua pembukaan institusi pengajian tinggi (IPT) pada semester hadapan.

Presidennya Mubarak Kunyi dalam satu kenyataan berkata langkah itu bagi bagi memudahkan urusan mahasiswa dan pihak universiti membuat persiapan penerimaan semula pelajar di kampus.

"Ia juga merupakan alternatif kepada mahasiswa yang mempunyai masalah akses Internet untuk pulang ke kampus bagi meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian dalam suasana yang lebih kondusif," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar aktiviti PdP dalam talian diteruskan sehingga 31 Dis ini seperti makluman awal yang dinyatakan KPT.

Jelasnya kelab tersebut telah mendapatkan 15,985 responden bagi menyampaikan suara mahasiswa mengenai pembukaan semula IPT.

Susulan itu, Mubarak berkata pihaknya telah menyerahkan satu memorandum pandangan mahasiswa berkaitan pembukaan semula universiti kepada KPT untuk dipertimbangkan.

-- BERNAMA