Kerana nilainya kian mahal dan permintaan yang tinggi daripada negara jiran menjadikan ketum umpama daun emas untuk diseludup ke Thailand.

Terbaharu, sebanyak 6.3 tan daun ketum bernilai hampir RM1 juta telah berjaya dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak dalam Op Wawasan Kedah/Perlis yang diadakan sepanjang bulan September lalu.

Operasi yang dijalankan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Kedah dan Perlis itu bermula pada 27 Ogos lalu dan berakhir hari ini.

Menurut Timbalan Komander PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, turut dirampas ialah tujuh kenderaan bernilai RM69,000 membabitkan empat motosikal dipercayai digunakan ahli sindiket untuk menyeludup ketum di sempadan.

Katanya, keseluruhan nilai rampasan membabitkan daun ketum dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM1.02 juta.

Tambahnya, penugasan pasukan ini membabitkan 20 pos kawalan dengan jarak 140 kilometer dari Kuala Perlis hingga Bukit Kayu Hitam dan sepanjang tempoh ini juga, pihaknya merekodkan 18 kes penyeludupan membabitkan ketum dan migran di mana penyeludupan ketum menjadi kes utama yang sering dibanteras.

"Daun ketum mempunyai sambutan permintaan yang begitu tinggi di negara jiran kita di Thailand dan usaha kita adalah untuk menghalang pembawaan masuk daun ketum ke negara jiran, jadi ini adalah kerjasama kita dengan pihak Thailand," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal (MARTAK) PGA di Bukit Kayu Hitam, pada Selasa.

Selain itu, pihaknya turut berjaya menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berusia antara dua hingga 45 tahun yang cuba menyusup keluar dari negara ini ke Thailand melalui laluan di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.

Jelas Mohamed Rafiq, siasatan awal mendapati kesemua PATI berkenaan telah lebih setahun berada di negara ini dan mengambil keputusan kembali semula ke negara mereka dengan menggunakan laluan ‘tikus’ yang terdapat di sempadan Malaysia-Thailand di mana apabila mereka lolos ke negara jiran, mereka akan diambil anggota sindiket untuk keluar dari Thailand pula.

Sementara itu, PGA Batalion 18 Briged Utara dari Hulu Kinta akan mengambil alih penugasan di kawasan ini bermula hari ini untuk tempoh sebulan bagi memastikan sebarang pelakuan jenayah rentas sempadan di Kedah dan Perlis dapat dibanteras.