WANG KELIAN, satu lokasi tumpuan pengunjung di utara Semenanjung yang cukup popular dengan pasar harian di sempadan Perlis dan Satun di Thailand.

Namun semua itu berubah sejak penutupan Zon Aliran Bebas di sini tiga tahun lalu yang sekali gus menjejaskan kehidupan ratusan penduduk yang tinggal berdekatan.

Lebih terkesan pastinya peniaga kecil di lokasi tersebut. Deretan kedai yang dahulunya tidak lekang dikunjungi pembeli dari dua negara bersempadanan kini tertutup rapi.

Ada kalangan bekas peniaga Wang Kelian, Perlis terus terhimpit kerana terpaksa menanggung beban membayar hutang sehingga ratusan ribu ringgit.

Ketika pinjaman dibuat, peniaga yakin mampu membayar segala hutang tetapi yang sebaliknya berlaku dan mereka menjadi mangsa keadaan selepas kerajaan menarik semula zon aliran bebas pada tahun 2015.

Menurut wakil penduduk Wang Kelian, Razak Daud, penduduk hanya mengharapkan keputusan itu ditarik balik bagi merancakkan aktiviti di kawasan sempadan.

Keadaan di pasar Wang Kelian ibarat hidup segan, mati tak mahu. -Astro AWANI
Zon itu membenarkan rakyat di kedua-dua bebas keluar masuk tanpa sebarang dokumen, sehingga jarak satu kilometer.

Bagaimanapun sejak penemuan kubur manusia di kawasan itu dipercayai berkaitan kes pemerdagangan manusia, kerajaan tidak lagi meneruskan zon berkenaan.

“Bukan kami yang menjadi punca masalah ini, bukan kami yang buat, tetapi dilakukan orang seberang. Kenapa kami yang jadi mangsa?” katanya.

Sejak tiga tahun, pekan Wang Kelian menjadi pekan mati dan langsung tiada aktiviti ekonomi.

Projek seperti Pasar Arkib Wang Kelian juga tidak berpenghuni walaupun kos binaan bernilai jutaan ringgit.

Lokasi Kampung Wang Kelian dan Satun. -Google Maps
Kru Astro Awani mengadakan tinjauan ke Satun, iaitu wilayah milik Thailand yang bersempadan Wang Kelian.

Keadaan di Satun jauh berbeza dan sentiasa sibuk dengan aktiviti ekonomi.

Ramai warga Malaysia datang ke sini untuk membeli pelbagai barangan kerana harga lebih murah berbanding di Padang Besar.

Keadaan pasar di Satun yang jauh berbeza dengan di Wang Kelian.
Bagi penduduk Satun pula, mereka juga mengharapkan pasar Wang Kelian dihidupkan semula supaya masing-masing mendapat manfaat.

Menurut penduduk Satun, Ismail Chik, penduduk Wang Kelian seharusnya tidak dihukum atas jenayah yang bukan dilakukan mereka.

“Kebanyakan kami di sini ada kaitan kekeluargaan. Kami memahami perasaan mereka dan mereka juga mahu hidup seperti kami,” katanya.

Keadaan pasar di Satun yang jauh berbeza dengan di Wang Kelian.
Abedon Anay pula berkata peniaga Satun juga serba sedikit terjejas kerana mereka sering bertukar barangan dalam urusan perniagaan.

Kami kembali semula ke Wang Kelian dan ketika itu terserempak dengan aktiviti transit barangan khususnya bawang dari Malaysia ke Thailand.

Malangnya aktiviti ini tidak membawa keuntungan kepada penduduk setempat. Keadaan ini sekali lagi merugikan penduduk dan rezeki berlalu begitu sahaja di depan mata.

Kini harapan mereka hanyalah kepada kerajaan baharu agar pasar Wang Kelian yang dahulunya menjadi pusat ekonomi masyarakat setempat dibuka semula.