announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

UMSC sediakan 200 vaksin influenza percuma kepada barisan hadapan

UMSC sediakan 200 vaksin influenza percuma kepada barisan hadapan
UMSC gembira dapat menawarkan vaksinasi kepada komuniti yang layak dan mereka berterima kasih kepada rakan kongsi yang membantu menjayakan inisiatif itu. - Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR: Sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) menyediakan 200 vaksin percuma kepada penunggang perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda dan badan bukan kerajaan Make It Right Movement.

Pengarah Perubatan dan Ketua Pegawai Eksekutif interim UMSC Prof Dr Vicknes Waran berkata kempen itu bertujuan mendidik masyarakat umum akan kepentingan vaksin.

"Pusat ini gembira dapat menawarkan vaksinasi kepada komuniti yang layak dan kami berterima kasih kepada rakan kongsi yang membantu menjayakan inisiatif ini.

"Influenza boleh menjadi penyakit yang membawa maut dan adalah disarankan suntikan vaksin ini diambil setiap tahun dan situasi semasa memberi penekanan kepada perkara itu yang sebelum ini tidak begitu kita endahkan," katanya kepada pemberita pada pelancaran kempen Vaksinasi CSR untuk Barisan Hadapan, di sini pada Selasa.

Katanya vaksin itu lazimnya diberikan kepada individu berisiko tinggi saban tahun namun tahun ini UMSC memutuskan untuk memperluas inisiatif dengan melibatkan penunggang Foodpanda dan pasukan komuniti Make It Right Movement.

Menurutnya faktor utama pemilihan penunggang Foodpanda sebagai penerima vaksin percuma itu ialah bagi mengurangkan penularan jangkitan influenza.

"Penunggang Foodpanda bersentuhan dengan ramai orang setiap hari apabila menghantar makanan dan ini membawa risiko kepada pelanggan, penunggang itu sendiri serta anggota keluarga yang terlibat," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penggunaan vaksin influenza untuk mencegah morbiditi dan mortaliti yang dikaitkan dengan influenza. Berdasarkan data 2017, kematian disebabkan oleh influenza dan pneumonia (radang paru-paru) di Malaysia ialah 16,215 orang.

Sementara itu, penunggang Foodpanda Mohd Danial Fatullah Mat Nazri, 21, berkata inisiatif sedemikian amat dihargai memandangkan rawatan seperti itu menuntut kos yang agak mahal.

CEO Make It Right Movement Brian Lariche pula berkata badan itu terlibat dalam mengumpul dana bagi membantu pelbagai komuniti termasuk pelarian dan golongan kurang upaya.

Katanya sepanjang krisis COVID-19 ini, persatuan itu bekerjasama dengan PERTIWI Soup Kitchen dan telah mewujudkan laman sesawang giveback.my yang setakat ini mengumpulkan hampir RM60,000 bagi memberi makanan kepada gelandangan di ibu kota.

-- BERNAMA